Sunday, July 20, 2008

Khas untuk MV agusta

Aku memang tak puas ati pasal kes MV agusta ni. 1 euro je, mmg x patut. aku bukan seorang ahli lembaga pengarah proton dan aku juga bukan bekas perdana menteri untuk mempersoalkan tentang perkara ini. Jadi biarlah persoalan kes ini di utarakan sendiri oleh mereka berdua.

Di bawah adalah press statement mereka berdua mengenai perkara ini. aku jumpa kat sini.

Kenyataan Media Bersama oleh Tun Dr Mahathir bin Mohamad & Tengku Mahaleel Tengku Ariff

Sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas pembelian pengeluar motosikal Itali, Meccanica Verghera Agusta (M.V. Agusta), kami, Tun Dr Mahathir bin Mohamad dan Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, berpendapat bahawa Proton perlu menjelaskan kepada semua pemegang saham Proton dan juga kepada masyarakat umum mengapa sebuah syarikat yang dibeli dengan harga 70 juta Euro (RM315 juta) dijual dengan harga satu Euro (RM4.50).

Penjualan tersebut sudah tentu menyebabkan Proton rugi RM315 juta, kurang RM4.50. Sekalipun Proton bebas daripada beban menampung kerugian yang ditanggung M.V. Agusta selama 15 bulan sebanyak 26.87 juta Euro (RM131 juta), Proton tetap rugi berdasarkan jumlah pembelian sebanyak 70 juta Euro (RM315 million) dan jualan sebanyak satu Euro. Kini Proton tidak lagi berpeluang untuk memulihkan syarikat tersebut bagi mendapat pulangan ke atas pembeliannya, mahupun untuk mendapat keuntungan.




Tentu sekali Proton tidak akan mendapat akses kepada kepakaran teknologi kejuruteraan M.V. Agusta.

Proton mengambil alih M.V. Agusta dengan kesedaran penuh bahawa syarikat tersebut mempunyai hutang sebanyak 232 juta Euro yang tidak perlu dibayar bagi tempoh tiga tahun. M.V. Agusta mempunyai aset di dalam bentuk dua kilang pengeluaran (di Cassinetta dan Morazzone) dan stok motosikal.

Di samping itu M.V. Agusta memiliki tiga jenama motorsikal – M.V. Agusta, Cagiva dan Husqvarna. M.V. Agusta F4 1000 Tamburini diiktiraf motorsikal sport yang terbaik di dunia. Kesemua jenama tersebut mempunyai nilai yang tinggi.

Teknologi enjin motorsikal dan enjin kecil M.V. Agusta juga diiktiraf sebagai yang terunggul di dalam industri.

Syarikat automotif yang mengalami kerugian seperti Rolls Royce, Bentley, Skoda, Lamborghini, Aston Martin dan lain-lain lagi telah dibeli syarikat yang berkemampuan dan telah berjaya dipulihkan. Tetapi nilainya ditentukan oleh aset serta jenama tersebut. Sejauh mana yang kita tahu, tidak ada satu pun daripada syarikat tersebut dijual dengan harga satu Euro.

Persoalannya mampukah Proton memulihkan M.V. Agusta? Sebelum ini Proton untung. Kilang di Tanjung Malim berjumlah RM1.8 bilion dibangunkan dengan sumber kewangan tersendiri – tidak ada hutang mahupun suntikan modal Kerajaan. Selepas membangunkan kemudahan ini, Proton masih lagi mempunyai tunai sebanyak RM2 billion. Proton merupakan syarikat yang untung dan sudah semestinya mempunyai pengetahuan di dalam mengurus syarikat untuk membawa keuntungan.

Kerugian Proton baru-baru ini dikatakan kerana peruntukkan yang dibuat untuk hutang M.V. Agusta. Tetapi menjawab soalan pemberita, seorang pengurus Proton (Datuk Maruan Mohd Said, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar) mengakui bahawa diskaun (promosi jualan semua model kereta Proton) yang diberi Proton telah memberi kesan kepada keuntungan Proton. Malangnya tiada angka yang diberikan.

Jangkaannya, sejumlah 54,000 kereta dijual dalam tiga bulan dengan potongan dan diskaun yang besar diberikan termasuk pendaftaran percuma, insurans percuma, bayaran ansuran percuma untuk tiga bulan pertama dan servis percuma. Secara kasar diskaun yang diberikan untuk setiap kereta adalah sebanyak RM2,000. Jika RM2,000 untuk sejumlah 54,000 unit kereta, maka Proton kehilangan sebanyak RM108 juta. Peningkatan jumlah jualan tidak mungkin dapat menampung jumlah kehilangan tersebut.

Angka ini yang menggambarkan kegagalan strategi tidak dimaklumkan. Sebaliknya kerugian dikatakan berpunca daripada peruntukkan untuk hutang M.V. Agusta. Apabila peruntukkan dibuat untuk hutang lapuk, ianya tidak bermakna yang hutang tersebut tidak boleh diperolehi semula. Di samping itu bagaimanakah jumlah tersebut ditentukan? Sebaliknya hutang M.V. Agusta telah dibekukan dan pembayaran tidak perlu dilakukan secara serta-merta. Semasa Proton menjual M.V. Agusta dengan harga satu Euro, adakah jumlah peruntukkan itu dibayar untuk mengurangkan jumlah hutang M.V. Agusta ataupun adakah ianya masih lagi berada di tangan Proton?

Yang pasti masih banyak soalan yang perlu dijawab berhubung penjualan satu Euro sebuah syarikat yang telah dibeli dengan harga 70 juta Euro.

* Siapakah yang menawar untuk membeli atau siapakah yang menawar untuk menjual dengan harga satu Euro?

* Adakah terdapat pihak lain yang juga berminat untuk membeli?

* Adakah terdapat usaha untuk mempengaruhi pembeli membayar harga yang lebih tinggi?

* Adakah penjualan M.V. Agusta diumumkan?

* Jika tidak, adakah Proton hanya berurusan dengan satu pihak yang membida?

* Jika terdapat bida dari pihak lain adakah mereka ini ditolak?

* Siapakah yang membuat keputusan untuk menjual?

* Bolehkah Proton menjelaskan bagaimana penjualan satu kepentingan yang dibeli dengan harga 70 juta Euro dengan harga satu Euro tidak akan menyebabkan kerugian kepada Proton sebagaimana yang didakwa?

Gevi S.p.A. bukanlah satu nama yang terkenal dalam industri automotif. Apakah ianya syarikat motorsikal, yang yakin bahawa ianya mampu memulih M.V. Agusta, sebagaimana yang penjualan oleh Proton menggambarkan bahawa Proton tidak mempunyai kemampuan atau keupayaan untuk memulihkan syarikat tersebut? Dengan tidak perlu membayar 70 juta Euro, Gevi sudah mendapat keuntungan.

Ini adalah soalan-soalan yang perlu dijawab. Sebagai dua orang utama yang terlibat di dalam pembelian M.V. Agusta, kredibiliti serta kejujuran kami menjadi persoalan. Kami ingin mengetahui jawapan yang sebenar. Masyarakat juga mungkin ingin tahu kerana Proton adalah projek nasional.

No comments: