Thursday, July 24, 2008

yang tersurat dan yang tersirat.

KHAIRY JAMALUDDIN adalah orang yang paling gembira dan selesa dengan pengumuman bapa mertuanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Bayangkan jika Pak Lah menyerahkan kuasa kepada Najib sebelum atau pada Perhimpunan Agung UMNO Disember akan datang. Peluang Khairy untuk menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidaklah begitu cerah tanpa sokongan dan pengaruh bapa mertuanya.

Dengan meletakkan pertengahan 2010 sebagai tarikh peralihan kuasa, Pak Lah sebenarnya telah menolong untuk memperkukuh kedudukan Khairy, Ahli Parlimen Rembau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Tidaklah diketahui sama ada Pak Lah sengaja melewatkan tarikh penyerahan kuasa itu kerana mahu memperkukuh kedudukan Khairy atau benar-benar kerana mahu menyiapkan tugas-tugas Perdana Menteri yang belum diselesaikannya.

Logiknya kita boleh bertanya, apakah Najib dan kemnya tidak akan menyokong Khairy untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein? Sekiranya Najib tidak menyokong Khairy, maka dalam konteks ini andaian Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya chedet.com amatlah relevan.

Menurut Mahathir, tempoh sebelum Najib menerima jawatan PM daripada Pak Lah adalah terlalu jauh. Macam-macam boleh berlaku dan dilakukan ke atas Najib. Ada kemungkinan Najib diketepikan dan Pak Lah melantik orang lain. Mengikut teori konspirasi Mahathir, ia boleh berlaku.

Kendatipun, kita tidaklah boleh percaya sangat kepada andaian Mahathir ini kerana ia dibuat atas premis prasangka dan prejudis. Juga mempunyai elemen kepentingan peribadi kerana anaknya Datuk Mukhriz telah pun siang-siang lagi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang Khairy idami.

Dalam senario terbaru, peralihan kuasa yang turut dipersetujui oleh Najib memberikan kedudukan yang lebih selesa kepada Khairy untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda. Sebaliknya peluang Mukhriz kelihatan semakin malap.

Percayalah bahawa peranan Najib dan para penyokongnya amat besar untuk menentukan siapa yang bakal menjadi Ketua Pemuda yang dikosongkan oleh Hishamuddin, sepupu Najib.

Cuba kita lihat lebih jauh kemungkinan percaturan politik ini. Hishamuddin memerlukan sokongan sebanyak mungkin untuk memenangi jawatan Naib Presiden kerana jika terlepas peluang pada pemilihan Disember ini, harapannya untuk meningkat lebih tinggi adalah tergugat. Sebaliknya jika beliau menang, kemungkinan besar beliau akan menjadi salah seorang calon kuat untuk dipilih oleh Najib bagi menjadi Timbalan Perdana Menteri pada pertengahan 2010.

Sebenarnya peluang Hishammuddin untuk mengisi salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden UMNO semakin cerah ekoran pengumuman tarikh peralihan kuasa itu. Beliau sebenarnya berada dalam satu kem dengan Pak Lah, Najib dan Khairy. Kita boleh mempercayai bahawa persetujuan antara Pak Lah dan Najib telah dicapai dengan memahami bahawa siapa juga yang masing-masing sokong dalam pemilihan Disember akan datang, akan disokong oleh kedua-dua pihak.

Sekalipun Najib tidak akan mengumumkan sokongannya kepada Hishammuddin, sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa beliau ingin melihat Hishamuddin menang. Selain mempunyai pertalian keluarga, Najib yang pernah memimpin Pemuda UMNO juga telah lama menjadi mentor Hishammuddin. Dalam pergolakan politik tanah air yang semakin tidak menentu, Najib sangat memerlukan orang-orang yang setia untuk bersamanya. Tidakkah Hishammuddin di antara orang-orang yang paling layak?

Sebagai jaminan (colateral) kepada persetujuan peralihan kuasa pada pertengahan 2010, Najib tentulah amat memahami kehendak Pak Lah supaya sokongan diberikan kepada menantunya Khairy. Tidak sukar bagi Najib merestui Khairy yang sejak beberapa bulan kebelakangan begitu jelas menyokong Timbalan Perdana Menteri, terutama dalam isu fitnah Altantuya.

Sebagai balasan, Khairy akan bekerja keras untuk memastikan Hishamuddin juga dipilih oleh para perwakilan UMNO untuk menjadi Naib Presiden parti. Hishammuddin pula akan meminta para penyokongnya dalam Pemuda UMNO supaya memastikan kemenangan Khairy. Dengan Pak Lah dan Najib berada di belakang mereka, boleh dibilang siapa yang tidak akan menyokong Hishammuddin dan Khairy.

Tidak munasabah Tun Mahathir tidak menyedari senario percaturan politik ini. Cuma beliau keberatan dalam tulisannya untuk menyebut betapa pakatan perlihan kuasa Pak Lah-Najib itu turut menjejaskan peluang anaknya Mukhriz untuk merebut jawatan Ketua Pemuda. Bukan kebiasaan Mahathir sejak dulu untuk menyentuh dan mengungkit perkara-perkara yang berkaitan dengan anggota keluarganya.

Marilah kita menduga senario selepas Perhimpunan Agung UMNO 2008. Pak Lah akan terus menjadi Presiden UMNO, Najib Timbalan Presiden, Hishammuddin salah seorang Naib Presiden dan Khairy Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang bertaraf Naib Presiden.

Siapa yang akan mengisi dua lagi jawatan Naib Presiden UMNO? Sembilan orang sudah menawarkan diri untuk dicalonkan - selain Hishammuddin ialah Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Adnan Yaakob, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Setakat ini penyandang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam belum menyatakan pendirian. Kemungkinan besar Mohd Ali Rustam akan cuba mempertahankan jawatannnya. Muhyiddin masih dalam keadaan dilema sama ada bertanding Naib Presiden atau jawatan yang lebih tinggi.

Maka selepas Perhimpunan Agung UMNO pada Disember 2008, barulah kita boleh mencongak dan meramal siapa yang bakal dipilih menjadi timbalan Perdana Menteri oleh Najib pada pertengahan 2010. Tetapi percayalah bahawa sudah pun ramai yang membuat ramalan sekarang.

Apa pun percayalah bahawa pada ketika Najib menjadi PM nanti, Khairy sudah pun berada di tempat ketiga dalam senarai hierarki pemimpin UMNO dengan menjadi Ketua Pemuda UMNO merangkap Naib Presiden UMNO melalui jawatan tersebut. Sekarang pun anda sudah boleh membaca arus peralihan kuasa terutama melalui laporan yang disiarkan oleh akhbar Kumpulan Utusan milik UMNO.

Hampir setiap hari ada-ada sahaja nama Khairy Jamaluddin disebut. Terbaru Mingguan Malaysia pada 13 Julai 2008 menyiarkan interviu dengan Khairy mengenai isu kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kata Khairy, kuota biasiswa 55 peratus untuk bumiputera dan 45 peratus bukan bumiputera adalah tidak adil dan perlu dikaji semula kerana tidak sejajar dengan komposisi penduduk.

Khairy mula membangkitkan isu tersebut di Parlimen pada awal minggu lalu dan beberapa hari kemudian Najib mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan mengkaji semula kuota biasiswa JPA itu. Sebagai makluman, kita semua tahu bahawa keputusan mengenai kuota biasiswa JPA itu telah dibuat oleh kabinet Pak Lah.

Nah, bukankah yang tersirat amat jelas daripada yang tersurat.


di ambil dari malaysia aktif

No comments: